Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) tiada masalah berhubung cadangan penaiktarafan tembok sempadan antara kedua-dua negara bila keputusan dibuat oleh kerajaan masing-masing.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM dan RTP akur dengan apa sahaja keputusan dibuat berhubung penaiktarafan tembok sempadan itu.

Beliau bercakap kepada pemberita di sini pada Selasa sebagai mengulas tentang status terkini cadangan penaiktarafan tembok tersebut.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menyelaras spesifikasi teknikal cadangan menaik taraf tembok sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Beliau dilaporkan berkata penyelarasan berkenaan akan dibuat berdasarkan keperluan strategik negara dan implikasi kewangan.

Pembinaan tembok berkenaan di garisan sempadan Malaysia-Thailand telah dipersetujui bersama dalam mesyuarat 'Land Boundary Committee' MALTHAI ke-25 Ogos lepas.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata PDRM dan RTP akan terus bekerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk bertukar-tukar maklumat dan penekanan terhadap risikan antara kedua-dua pihak.

Misalnya, kata beliau, menerusi mesyuarat tahunan Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand pihaknya akan sentiasa memberi cadangan terbaik kepada kerajaan dalam menangani isu jenayah rentas sempadan.

Katanya, kerjasama baik antara PDRM dan RTP bukan sahaja menerusi tugasan rasmi tetapi juga sukan.

Ini dapat dilihat pada perlawanan ragbi tahunan antara PDRM dan RTP.

Terdahulu pada sebelah petang, beliau bersama rakan sejawatan, Commissioner General Polis Diraja Thailand General Chaktip Chaijinda menyaksikan perlawanan pada Kejohanan Ragbi Piala Rujirawongse di Stadium Universiti Teknologi Malaysia, di sini.

Mohamad Fuzi berkata kejohanan itu yang diadakan sejak tahun 1961 merupakan acara tahunan antara kedua pihak, yang dilihat sangat efektif dalam mempererat hubungan dua negara.

Pada kejohanan kali ini, PDRM berjaya mengalahkan pasukan RTP, sekaligus mencatatkan kemenangan ketujuh daripada 33 pertemuan yang telah berlangsung.

-- BERNAMA