Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan aset utamanya bagi membantu kerja-kerja menyelamat mangsa di beberapa negeri yang teruk terjejas akibat banjir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia membabitkan aset PDRM di negeri lain yang tidak terbabit dengan banjir dikerahkan ke Pantai Timur dan Johor.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai kelengkapan jentera, kenderaan dan bot yang cukup bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terbabit berikutan keadaan banjir semakin buruk, khususnya di pantai timur.

“Kami telah bersedia sepenuhnya dan sekarang ni telah mengerakkan juga aset-aset kami daripada tempat-tempat lain yang tidak menghadapi ancaman banjir ini untuk dibawa ke negeri-negeri sebelah Pantai Timur ni khususnya Terengganu, Kelantan, Pahang. Bot-bot kita telah pun mula kita gerakkan dari Johor daripada Perak Hulu Kinta daripada Pantai Barat dalam usaha kita meningkatkan lagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir."

Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bagi melaksanakan tugas berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas sambutan ulangtahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ke-58 di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu .

Pada majlis itu, beliau turut mengistiharkan bahawa pasukan FRU kini dijadikan sebuah formasi dalam pasukan PDRM.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara turut meminta orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk berpindah pada bila bila masa demi menjamin keselamatan mereka.

Menurutnya,selain itu,pihak polis serta agensi berkaitan akan melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi mempastikan kegiatan jenayah dapat dibendung.

"Jangan risaukan harta benda yang ditinggalkan itu kerana itu adalah menjadi tanggung jawab kami untuk memastikan harta benda yang ditinggalkan itu ditinggal dalam keadaan selamat. Anak-anak pastikan mereka dijaga dengan betul diawasi agar jangan dibenarkan bermain dengan air bah ni tanpa pengawasan."

Musim tengkujuh di Terengganu setakat ini meragut dua nyawa remaja ketika memukat ikan membabitkan dua kejadian berasingan di Marang dan Kemaman.