Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat 100 lagi penjenayah Macau Scam sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenayah berkenaan kini sedang disiasat dan berada dalam tahanan pihak berkuasa.

"Seramai 416 penjenayah judi Macau Scam sudah dihantar balik ke negara China dengan kerjasama Ministry of Public Security.

"Terdapat tambahan yang sedang dalam tahanan mungkin sekitar 100 orang lagi yang kita sedang lakukan interograsi (pemeriksaan), kita sedang dapatkan maklumat daripada mereka dan dengan kerjasama MPS kita akan hantar mereka balik ke negara asal untuk diambil tindakan dan undang-undang," katanya semasa sidang media selepas Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan bersama belia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

BACA: Akauntan rugi RM500,000 ditipu sindiket 'Macau scam'

BACA:
Lebih 1 juta rugi akibat Macau Scam, pinjaman tidak wujud

Sebanyak 694 kes penipuan 'Macau Scam' direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga Ogos lalu.

JSJK sejak kebelakangan ini banyak menerima pertanyaan daripada orang ramai bagi mendapatkan pengesahan berhubung panggilan yang mereka terima.

Berdasarkan siasatan, sindiket itu menggunakan pelbagai modus operandi menipu mangsa bagi tujuan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, Kementerian Dalam Negeri dan PDRM telah menghantar deraf bagi meminda Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 untuk tindakan Jabatan Peguam Negara.

"Mereka memasukkan elemen baru kes jenayah perjudian atau mengadakan undang-undang judi dalam bentuk pencegahan termasuk dalam aspek atas talian untuk 50 atau 100 tahun akan datang.

"Jelas judi ini menjadi ancaman institusi keluarga yang boleh runtuh dan mengakibatkan risiko jika mereka tidak dapat membayar taruhan judi," jelasnya.

Tambahnya, PDRM juga sudah melakukan 5,913 operasi membanteras judi haram sejak pelantikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Hasil operasi mendapati lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka bebas dari judi haram.