Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan kepada pegawai atau anggotanya yang terlibat menyalahi undang-undang termasuk merokok di kawasan larangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ia adalah tindakan tidak beretika dan pihaknya akan menyiasat di mana kejadian itu berlaku dan siapa pegawai atau anggotanya yang terlibat melakukan kesalahan itu.

Katanya, larangan merokok di premis makanan sudah dikuatkuasakan di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak masih belum dilaksana.

"Kita akan ambil tindakan. Kerajaan dah kuat kuasa larangan, papan tanda itu perlu dipatuhi semua pihak termasuk anggota dan pegawai PDRM terutama mereka yang beruniform.

"Jadi tindakan mereka ini amat tidak beretika," kata Mohamad Fuzi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Semalam tular sebuah video berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang anggota polis memegang rokok ketika berada di premis makanan yang merupakan kawasan larangan merokok.

Video berkenaan jelas menunjukkan tanda larangan merokok di premis itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Penjara berhubung kes penyeludupan dadah di Penjara Simpang Renggam.