PDRM tahan 45 pengganas asing - KPN

PDRM tahan 45 pengganas asing - KPN
Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism, Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah mengeluarkan senarai kesemua 12 orang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh.- Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR: Seramai 45 warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan yang diklasifikasikan sebagai kumpulan 'Foreign Terroist Fighter' (FTF) berjaya ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa siri operasi sejak Januari hingga 6 Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat bahawa pengganas dari pelbagai negara yang sebelum ini beroperasi di Iraq dan Syria mula menyusup keluar selepas kumpulan Daesh kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasainya di dua negara tersebut.

Menurutnya, anasir itu juga diarahkan untuk menyusup masuk ke negara di seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daesh.

Malah kata beliau, maklumat yang diperoleh turut mengesahkan terdapat kumpulan pengganas asing bergabung dengan pihak Daesh di rantau Asia Tenggara seperti kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) serta Jamaatul Mujahideen dari Bangladesh yang mengarahkan anggotanya melancarkan serangan di Malaysia.
"Ekoran itu, kita berjaya menahan 45 individu yang terbabit dikategorikan sebagai FTF dalam beberapa siri tangkapan bermula Januari hingga 6 Oktober tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
12 senarai warga asing yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh

Mohamad Fuzi menambah, daripada jumlah itu, sembilan individu dipercayai terbabit dengan kumpulan ASG manakala tiga individu daripada kumpulan Fetullah Turki yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sementara menurutnya, seorang yang ditahan dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh dan kumpulan Jamaatul Mujahideen serta baki 31 individu lagi terdiri daripada pelbagai warganegara disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh termasuk tiga rakyat Iraq yang menjadi Komander Daesh di selatan Iraq.

"Anggota ASG yang memasuki negara ini disyaki merancang untuk melancarkan serangan di sini manakala yang lain menyusup masuk untuk berlindung, menggumpul dana serta menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi melancarkan serangan ke atas negara ketiga," katanya.

Selain itu, beliau menambah, seramai 13 suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkatan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Katanya lagi, seramai 12 suspek pula diusir ke negara asal untuk tindakan susulan pihak berkuasa negara berkenaan, seorang suspek dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) sementara tujuh suspek telah dibebaskan.

"Bagaimanapun, kita juga masih menjalankan siasatan terhadap 12 suspek," jelasnya.

Tambah Mohamad Fuzi, kejayaan PDRM dalam operasi pembanterasan itu adalah hasil kerjasama mantap dengan agensi perisikan dan penguat kuasa asing daripada segi pertukaran maklumat risikan.

Kata beliau, PDRM akan terus memantau dan mengambil tindakan pembanterasan kehadiran anasir-anasir pengganas asing bagi memastikan sebarang cubaan serangan di Malaysia oleh kumpulan pengganas dapat dipatahkan.

"Usaha untuk menangani ancaman anasir FTF bukanlah mudah, ia memerlukan kerjasama di antara PDRM dengan agensi penguat kuasa dan perisikan asing. Sekiranya ia tidak dibendung, ancaman ini akan mengganggu-gugat keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.