Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada masalah sekiranya Majlis Tindakan Pilihan Raya diwujudkan untuk memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan segera semasa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sememangnya sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya sesuatu pilihan raya diadakan.

"Sebenarnya, kita memang bekerjasama rapat dan sekiranya ada arahan untuk adakan Majlis seperti itu kami memang tiada masalah kerana ketika ini pun memang dah ada kerjasama rapat.

"Mesyuarat berkala dengan SPR dan SPRM di Pilihan Raya Kecil pun memang diadakan malah kita akan berhadapan dengan beberapa PRK lagi seperti di Negeri Sembilan dan Selangor.

"Jadi terpulang kepada pihak berkuasa untuk beri arahan, kalau ada permintaan untuk kita laksanakan jadi kita akan ikut sahaja," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program ronda cegah jenayah di ibu negara, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohammad Fuzi berkata pihaknya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Pahang mengenai jumlah laporan polis yang telah dibuat sepanjang PRK Cameron Highlands berlangsung.

"Pagi tadi saya dimaklumkan, setakat 23 haribulan sebanyak 17 laporan polis telah dibuat tetapi ada satu dua kes sahaja yang melibatkan PDRM, yang lain berkaitan dengan SPR dan SPRM," jelasnya.

Semalam, Penganalisis politik, Md Shukri Shuib mencadangkan perkara tersebut dilaksanakan bagi memastikan PRU dan PRK dijalankan dalam keadaan bersih di samping meningkatkan peranan yang dimainkan oleh SPR.

Ini susulan, pada Selasa, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun menyatakan pihaknya tidak boleh melaksanakan tindakan segera seperti menyiasat atau menangkap individu yang dituduh berkaitan kesalahan sepanjang proses pilihan raya di negara ini.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas apakah tindakan segera yang boleh dilakukan SPR untuk mengheret mereka yang didakwa melakukan kesalahan sepanjang proses pilihan raya sementara menunggu keputusan siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).