Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membabitkan sebuah syarikat sewa kereta di Kajang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut Isnin ini.

"Pasukan petugas itu terdiri daripada wakil-wakil dari Ketua Polis Daerah serta pegawai penyiasat yang akan dipengerusikan saya sendiri. Saya mahu pasukan petugas untuk meneliti setiap laporan polis yang diserahkan oleh individu yang terlibat dalam kejadian itu.

"Semestinya satu keputusan yang adil akan kita buat dan akan pastikan bahawa pihak-pihak yang berkepentingan memperoleh pembelaan dari segi undang-undang. Saya seru mereka ini sabar dan polis akan ambil tindakan undang-undang yang sepatutnya," katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Jawatan kuasa Kerja membincangkan hal aktiviti jenayah bersama Polis Diraja Thailand pada hari ini.

10 Julai lalu, PPIM mendakwa berlaku penipuan ke atas sekumpulan pengguna yang menuntut untuk mendapatkan kembali kereta milik mereka yang disimpan di sebuah gudang milik sebuah syarikat sewa kereta di Kajang.

Tindakan tersebut menimbulkan kekecohan apabila kumpulan pengguna terbabit didakwa masuk ke premis gudang tersebut tanpa mengemukakan perintah mahkamah.


Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM tidak 'memilih bulu' dalam siasatan berhubung kes syarikat pajak kereta diceroboh sekumpulan pemilik kereta baru baru ini.

Justeru beliau meminta supaya diberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan.