Pecah amanah AS$12.1 juta: Hasanah mengaku tidak bersalah

Pecah amanah AS$12.1 juta: Hasanah mengaku tidak bersalah
Hasanah (kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah, Bahagian Penyelidikan (MEIO), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Abdul Hamid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah AS$12 juta (RM50 juta).

Hakim Azman Ahmad membenarkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan beliau menyerahkan pasport antarabangsanya.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 29 November 2018, jam 3 petang.

Hasanah diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.



Pada 28 Ogos lalu, beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan bagi peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau kemudian direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana berkenaan.

Sebelum ini, Hasanah dikaitkan dengan dakwaan menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).

Menerusi surat berkenaan, MEIO didakwa meminta AS terus menyokong pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam PRU14.