Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk mengambil keterangan pedofilia British, Richard Huckle bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini berdepan cabaran memandangkan tiada butiran dikongsikan pihak berkuasa Britain mengenai isu ini.

"Memang kami ada menerima makluman mengenai suspek pada 2014, tetapi tiada butiran diberikan mengenainya.

"Beliau disyaki terbabit dengan pedofilia sehinggalah kes ini dibicara di mahkamah, barulah kita dapat kesan dia daripada mangsa," katanya dalam sidang media di sini hari ini selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad kali ke-81 di sini hari ini.

BACA: Kementerian akan adakan program komuniti di kawasan mangsa pedofil

BACA: Pedofil Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

BACA: Britain akan kerjasama dengan Malaysia lindungi kanak-kanak


Katanya lagi, pihaknya mengalu-alukan jika undang-undang berkaitan jenayah seksual dan pornografi kanak-kanak dirombak.

Ditanya samada PDRM ada statistik berkaitan pedofil di Malaysia, Khalid berkata, pihaknya kini giat memantau laman web serta akaun yang digunakan untuk berkongsi video pornografi.

Beliau turut menggesa ibubapa yang terbabit dengan isu ini untuk tampil memberi kerjasama bagi memastikan isu ini dibanteras sebaiknya.

"Tak perlu malu, kalau isu ini tidak diketengahkan, kita takkan dapat selesaikannya," katanya.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan bahawa Huckle, 30, seorang jurufoto bebas, mungkin telah mendera hingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, penjenayah ini mengaku bersalah terhadap 71 daripada pertuduhan itu.

Huckle mengaku melakukan 71 kesalahan dan didapati menyimpan lebih 20,000 imej lucah berkaitan kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick pada 2014.