Seorang pegawai eksekutif unit komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bagi kelulusan tapak sewaan.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah itu ke atas lelaki berumur 50-an itu yang dikatakan menerima suapan antara RM500 sehingga RM 4,500 bagi setiap kelulusan tapak sewaan yang kesemuanya berjumlah RM36,500.

Pembayaran dibuat dengan memasukkan wang terbabit dalam akaun sebuah bank milik lelaki itu.

Lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM di sini pukul 2.45 petang semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA