Kegiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan Jabatan Imigresen akhirnya terbongkar apabila dicekup tengah hari semalam.

Sepasukan pegawai dari ibu pejabat Imigresen menahan suspek dihadapan sebuah restoran makanan segera di Bandar Sunway, Selangor kira kira kira jam 12.15 tengah hari.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ketika ditahan, suspek sedang menunggu pelanggan di dalam kereta dengan memakai pakaian seragam Jabatan Imigresen.

"Dia menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram dia sendiri untuk menjalankan penyamaran dan perniagaan haram. Kami minta kerjasama orang ramai yang telah tertipu untuk tampil ke hadapan memberikan penjelasan atau keterangan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Imigresen di sini, siang tadi.

Mustafar berkata, lelaki berusia 45 tahun itu menyamar sebagai Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan yang dinaiki suspek menemui lima keping kad kuasa imigresen dan sembilan salinan pas khas yang disyaki palsu.

Suspek kemudian membawa pasukan operasi ke kediamannya di Puchong dan menemui beberapa helai lagi pakaian seragam dan aksesori imigresen, pasport Indonesia, dokumen perjalanan warga asing dan pas Jabatan Imigresen.

Modus operandi suspek adalah meyakinkan mangsa berurusan dengannya untuk mendapatkan pas lawatan kerja sementara dengan bayaran RM3,000 hingga RM4,000.