Pegawai kanan FGV Holdings Berhad (FGV) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan bernilai RM10,000.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek berusia 50 tahun itu direman hingga Khamis ini.

“Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman membenarkan tempoh tahanan reman terhadap suspek selama lima hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pegawai kanan itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Individu itu dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan untuk mengesyorkan perlanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.