Seorang pegawai kanan jabatan kerajaan di Melaka bergelar 'Datuk' yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah, dibebas dengan jaminan RM300,000 tanpa cagaran oleh seorang penjamin hari ini.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili pegawai itu berkata siasatan kes itu sedang berjalan dan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, pegawai berusia 56 tahun itu yang memakai kemeja-T berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh di sini dibawa pegawai SPRM pada 9 pagi, dan dibawa keluar dari kompleks itu kira-kira 30 minit kemudian selepas prosedur jaminan itu selesai.

Penolong Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi membenarkan jaminan tersebut.

Pegawai itu ditahan pada 15 Ogos lepas sebelum dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 16 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan kemudian disambung reman selama tiga hari yang tamat hari ini.

Pada 15 Ogos lepas, tiga penjawat awam - dua daripadanya masing-masing bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' - ditahan SPRM di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan bagi membantu siasatan kes rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.