Seorang pegawai pengurusan kanan Tabung Haji bergelar 'Datuk' direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.

Perintah tahanan reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira 9.45 pagi berpakaian kemeja lengan panjang.

Menurut sumber SPRM, suspek menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan memberi projek kerja-kerja penjenamaan semula pejabat cawangan Tabung Haji kepada syarikat kontraktor melibatkan kos RM15 juta.

Suspek dipanggil untuk memberi keterangan pada Selasa dan ditahan pada pukul 8.35 malam tadi di ibu pejabat SPRM.

Lembaga Tabung Haji pada 30 Nov lalu membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan wang dana jemaah haji dan salah nyata dalam perjanjian korporat.

Laporan itu membabitkan bekas Pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah; serta pengurusan kanan Tabung Haji.

-- BERNAMA