Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mempertahankan keputusannya melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam tuntutan ke atas kapal layar mewah Equanimity.

Menyatakan Sitpah Selvaratnam mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam undang-undang perkapalan, beliau berkata dalam kenyataan media bahawa keputusan untuk melantik Sitpah "adalah keputusannya dan dibuatnya sendirian, kerana beliau menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap kebolehan dan integritinya".

"Selvaratnam ... tidak akan dibayar sebarang fi. Perkhidmatannya diberikan kepada kami tanpa sebarang caj ke atas pembayar cukai," kata Thomas memberi penjelasan terhadap laporan media kenapa beliau melantik seorang peguam daripada bekas firma guamannya pada 6 Ogos untuk mewakili Malaysia dan 1MDB dalam kes kapal layar mewah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


"Hujung minggu lepas, Selvaratnam dan Jeremy Joseph didatangi oleh pihak-pihak asing untuk mewakili mereka dalam perkara ini, dan mereka menolaknya.

"Ujian sebenar terhadap pengalaman dan kepakaran Selvaratnam akan terserlah jika, dan bila, Jho Low atau mana-mana pihak lain memohon untuk mengetepikan waran tangkap. Hujahan yang dikemukakan oleh semua pihak pada masa itu pastinya padat apabila Mahkamah mendengar perkara itu atas meritnya, dan adalah kritikal untuk Malaysia mempunyai peguam terbaik. Litigasi adalah perkara yang dinamik; sukar diramal di dalam mahkamah, dan kes Malaysia perlu berada dalam tangan yang selamat," katanya.

"Selain itu, bertindak sebagai peguam di hadapan Hakim Admiralti di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, penghujahan secara 'ex parte' boleh berlangsung hampir dua jam. Menyerahkan waran tangkap dengan syerif berada di atas kapal memerlukan pengalaman dan kepakaran oleh peguam-peguam yang sebenarnya melakukan penahanan admiralti.

"Perlu diingat bahawa Pihak Yang Menuntut dalam prosiding Mahkamah ini ialah Kerajaan Malaysia dan anak syarikat milik penuhnya 1MDB, bersama-sama dengan dua anak syarikat 1MDB," katanya.

BACA: Equanimity: RM3 juta sebulan, 'umpama adakan parti setiap hari atas kapal'


Thomas juga berkata Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai unit khas perkapalan.

"Sehubungan itu, saya memutuskan untuk merujuk kepada Majlis Peguam, dan memilih tiga peguam perkapalan terkemuka Malaysia, Selvaratnam, Jeremy Joseph dan Ong Chee Kwan, untuk mewakili Pihak Yang Menuntut, bersama-sama dengan Alice Loke, Peguam Kanan Persekutuan.

Beliau berkata perlu diingat bahawa prosiding undang-undang ini dikemukakan demi manfaat Malaysia dan dengan itu, kami berhak mendapatkan khidmat peguam terbaik untuk Malaysia.


Thomas menegaskan tidak timbul persoalan konflik kepentingan kerana "kami semua di pihak yang sama".

"Tidak sepatutnya ditimbulkan sama ada betul atau munasabah sehinggakan Malaysia dinafikan khidmat Selvaratnam hanya kerana saya pernah berada dalam firma sama dengan beliau yang menjadi perunding sejak lapan tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA