Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata beliau tidak pernah berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail melarang laporan skandal RM250 juta Projek Fidlot Nasional (NFC) dari dibentangkan di Parlimen.

Nur Jazlan menerangkan bahawa beliau hanya berkata laporan NFC itu telah siap dan telah dihantar kepada Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan apabila Pandikar bertanya kepada Abdul Ghani wajarkah laporan itu dibentangkan, Abdul Ghani menerangkan ia tidak wajar kerana subjudis.

“Saya tidak cakap Peguam Negara larang daripada laporan itu dibentangkan. Saya hanya cakap Peguam Negara bagi pandangan bahawa ia mungkin subjudis sekiranya dibentangkan di Parlimen.

“Jangan buat andaian dan tuduhan sebegitu,” katanya semasa satu sidang media di Parlimen hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian ekoran laporan sebuah portal berita yang mengungkap kata-kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bahawa Nur Jazlan berkata laporan itu dilarang dibentangkan oleh Abdul Ghani kerana akan menjadi subjudis kepada kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Peguam negara memaklumkan kepada speaker Dewan untuk melarang laporan PAC berkenaan NFC dibentangkan di Parlimen," Pua diungkap berkata di dalam laporan berita itu.

Pua berkata, laporan PAC berhubung perkara itu sudah sedia untuk dibentangkan apabila PAC menyerahkan laporan berkenaan kepada Dewan Rakyat pada November tahun lalu.

"Peguam negara berkata laporan ini akan mengganggu kes mahkamah Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh yang kini berdepan dua kes pecah amanah melibatkan RM49.7 juta di Mahkamah Tinggi," katanya.

Pua bagaimanapun memberi jaminan itu tidak menyentuh kes yang sedang berjalan di mahkamah.