Hujan lebat sejak semalam di daerah ini turut mengakibatkan tanah runtuh berhampiran pejabat Jabatan Taman Laut di Pulau Aur, Mersing, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, terdapat keretakan pada struktur bangunan utama pejabat itu.

"Kita juga mendapati kerosakan berlaku melibatkan pagar, stor penguatkuasaan dan sistem tapisan air bersih.

Berlaku pergerakan tanah di belakang pejabat Jabatan Taman Laut Pulau Aur, Mersing.

"Bagaimanapun, anggaran kerugian masih belum ditafsirkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sementara itu, setakat pukul 7 malam ini, seramai 352 mangsa daripada 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara.

Kawasan terjejas di Mersing masih melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Di Kota Tinggi, kawasan terjejas masih melibatkan Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu.

Berlaku pergerakan tanah di belakang pejabat Jabatan Taman Laut Pulau Aur, Mersing.