Pejabat MB Johor nafi ada broker untuk projek

Pejabat MB Johor nafi ada broker untuk projek
Pejabat Menteri Besar Johor menegaskan bahawa individu yang dimaksudkan bukanlah pegawai khas kepada Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian. - Twitter/@KitaBangsaJohor
JOHOR BAHRU: Pejabat Menteri Besar Johor hari ini menafikan dakwaan bahawa ada pegawainya yang menyalahgunakan kuasa termasuk "menjadi broker" dalam mendapatkan projek-projek berkaitan kerajaan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, pejabat itu menegaskan bahawa individu yang dimaksudkan bukanlah pegawai khas kepada Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

"Pentadbiran ini memandang serius terhadap tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Menteri Besar Johor untuk mendapatkan projek-projek berkaitan kerajaan," menurut pejabat itu di sini, lewat petang tadi.
Selain itu, pejabat Menteri Besar turut mengingatkan agar pegawai kerajaan negeri tidak perlu takut dengan desakan pihak-pihak tertentu yang ingin mendapatkan tender kerajaan dengan tidak mengikut prosedur yang betul.

"Kerajaan negeri juga berpendirian bahawa sebarang projek hendaklah melalui proses tender terbuka seperti yang tertulis dalam manifesto Pakatan Harapan Johor," tambah pejabat itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab beberapa kiriman dalam laman sosial Facebook yang mendakwa terdapat individu yang mengakui dirinya pegawai khas Menteri Besar Johor dan menjadi "broker" kepada projek-projek berkaitan kerajaan negeri. -- Bernama