Pejalan kaki warga emas maut digilis pacuan empat roda

Pejalan kaki warga emas maut digilis pacuan empat roda
Ketika pemandu jip memberhentikan kenderaan, wanita warga emas tersebut sudah berada di bawah kenderaannya dalam keadaan berlumuran darah. Astro AWANI
TAWAU: Seorang wanita warga emas maut digilis sebuah jip di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira kira jam 11 pagi di Jalan Ho Hwang Kim, jip tersebut berhenti dan berundur sedikit bagi memberi laluan kepada lori di hadapannya ketika tiba di persimpangan Jalan Cole Adam.

Dalam masa sama, mangsa menyeberang jalan.

Selepas lori melalui persimpangan itu, jip berkenaan meneruskan perjalanan tanpa menyedari kehadiran mangsa di hadapan.

Pemandu jip hanya memberhentikan kenderaannya ketika mendengar jeritan orang ramai di sekitar lokasi kejadian.

Ketika itu, wanita berusia 65 tahun tersebut sudah berada di bawah kenderaannya dalam keadaan berlumuran darah.

Pemandu berkenaan terus membawa mangsa yang cedera parah ke Wad Kecemasan Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 2.07 petang daripada ahli keluarga mangsa selepas mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor, ketika menerima rawatan.

Pemandu jip, lelaki berumur 38 tahun, kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.

Sebelum kejadian, warga emas itu bersama suaminya, sedang dalam perjalanan dari Kampung Jawa menuju bandar Tawau.

Mereka berhenti di jalan yang menuju ke Jalan Dunlop, lalu mangsa pergi ke sebuah kedai di seberang jalan, manakala suaminya menunggu di dalam kenderaan.

Menurut Peter, kes disasat di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.