Lonjakan harga getah sekarang menyaksikan pekebun kecil di Sabah menikmati pendapatan sehingga RM7,000 sebulan daripada RM2,500 sebelum ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Katanya harga getah kentalan di Sabah melonjak daripada paras terendah pada RM1.50 sekilogram kepada RM3.75 sekilogram hari ini.

Harga Getah Standard Malaysia (SMR 20) di pasaran antarabangsa melonjak daripada RM4.70 sekilogram pada tahun lepas kepada RM9.68 sekilogram setakat hari ini, katanya dalam kenyataan di sini.

Sambil mengharapkan keadaan itu berterusan, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industi Makanan Sabah, berkata kenaikan harga getah tersebut berikutan kekurangan bekalan di pasaran dunia susulan banjir yang melanda selatan Thailand.

Sementara itu, Yahya berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana banyak membantu pekebun kecil getah khususnya di Sabah semasa harga komoditi tersebut merudum.

Beliau berkata Insentif Pengeluaran Getah iaitu polisi jaringan keselamatan sosial pekebun kecil yang dilaksana kerajaan, memberi manfaat kepada 13,426 pekebun kecil Sabah.

Bagi tempoh September 2015 hingga Oktober tahun lalu, kerajaan membayar kira-kira RM22 juta kepada pekebun kecil di Sabah menerusi Lembaga Industri Getah Sabah, katanya.

-- BERNAMA