Hasrat seorang pekebun warga emas untuk mengutip buah durian tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di kawasan kebun durian di Sungai Ara, Pulau Pinang petang Selasa.

Mayat lelaki berusia 77 tahun itu ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan kebun berkenaan pada jam 5 petang dalam keadaan terlentang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan AA Anbalagan berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai tergelincir semasa dalam perjalanan ke kebun untuk mengutip durian.

Anbalagan berkata, anak mangsa memaklumkan bapanya telah keluar dari rumah pada jam 2 petang untuk mengutip durian.

Mangsa mengalami luka parah di kepala telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala motosikal mangsa rosak pada bahagian depan, belakang, kiri dan kanan.

Siasatan pihak polis mendapati laluan berkenaan hanya boleh dilalui motosikal, dan semasa kejadian jalan itu dalam keadaan berlumpur serta basah akibat hujan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Balik Pulau mendapati kematian mangsa berkaitan masalah jantung selain cedera di kepala.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.