Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses membolehkan pekerja asing di negara ini mendapat perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menterinya, M. Kulasegaran berkata cadangan itu bagi membolehkan manfaat yang diperoleh pekerja tempatan juga akan dapat dinikmati pekerja asing.

Perkara itu katanya adalah selaras dengan ketetapan Organisasi Pekerja Asing Antarabangsa yang mahu setiap negara seragamkan manfaat untuk pekerja asing dan pekerja tempatan.

Bagaimanapun, Kulasegaran berkata pihaknya perlu mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

"Pihak kami telah mengutara cadangan ini ke Kabinet kerana kita akan terikat dengan konvensyen pekerja asing jadi kita berharap ini akan dapat diimplementasi," kata Kulasegaran.

Beliau percaya perkara itu tidak akan membebankan majikan sebaliknya ia akan memberi situasi menang- menang kepada kedua-dua belah pihak apabila majikan tidak lagi perlu membayar insurans khas untuk pekerja tersebut.

Katanya, Malaysia kini menjadi perhatian dunia berhubung isu pemerdagangan manusia dalam kalangan warga asing, sekiranya perkara itu tidak diatasi dengan segara, negara luar enggan melabur dalam Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Town Hall Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di Institut Latihan Perindustrian ( ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar dan Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Wan Zulkifli Wan Setapa yang juga Setiausaha Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing.

Sementara itu mengulas mengenai sesi tersebut, beliau berkata sehingga kini pihaknya sudah mengadakan 11 siri Town Hall termasuk Pulau Pinang dan sesi seterusnya akan diadakan di Putrajaya dan Johor Bahru.

Beliau berkata sebanyak 38 isu berkaitan peenambahbaikan dan pengurusan pekerja asing diperolehi sepanjang sesi tersebut dan semuanya akan diteliti jawatankuasa tersebut sebelum dibawa ke Kabinet.