Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) hari ini bersetuju untuk mensyaratkan pekerja asing menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, ia bagi memastikan pekerja asing bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit serta penyalahgunaan dadah dan menjamin keselamatan Malaysia dari sudut kesihatan.

"Pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing akan dilaksanakan sepanjang tempoh penggajian secara berkala bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan pemeriksaan kesihatan itu akan ditetapkan setelah perbincangan dan konsultasi diadakan dengan pihak majikan.

Katanya mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya pihak majikan diwajibkan menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing yang digajikan berdasarkan piawaian minimum penginapan yang telah ditetapkan.

Ahmad Zahid menegaskan kegagalan majikan bagi menyediakan kemudahan penginapan mengikut piawaian minimum boleh mengakibatkan permohonan pembaharuan pas lawatan kerja sementara (PLKS) pekerja asing tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"Jawatankuasa pada hari ini telah bersetuju dengan cadangan agar pihak swasta yang berminat diberi peluang untuk menyediakan perkhidmatan penginapan berpusat kepada pekerja asing sebagai pilihan kepada majikan untuk menempatkan pekerja mereka," katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengeluarkan Perakuan Pematuhan Piawaian Minimum Penginapan Pekerja Asing kepada setiap premis penginapan berpusat pekerja asing disediakan pihak swasta yang mematuhi Garis Panduan Piawaian Minimum Penginapan Pekerja Asing.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak menetapkan sebarang caj perkhidmatan yang dikenakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan penginapan berpusat kepada majikan yang menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 1.99 juta pekerja asing sah dan memegang PLKS direkodkan di negara ini.

"Bilangan ini merupakan satu jumlah yang besar namun begitu, kerajaan masih mendapat aduan dan keluhan daripada industri-industri yang mendakwa masih kekurangan tenaga kerja terutamanya setelah pembekuan pengambilan pekerja asing baharu dilaksanakan," katanya.

Katanya kerajaan telah mengenal pasti beberapa sektor kritikal yang mempunyai keperluan mendesak iaitu perkilangan terutamanya industri perabot, pembinaan dan perladangan.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan turut dimaklumkan terdapat dalam kalangan rakyat tempatan yang diberhentikan kerja atas beberapa sebab antaranya syarikat mengecilkan operasi atau menamatkan perniagaan.

Tegasnya, keutamaan pekerjaan perlu diberikan kepada rakyat tempatan dan usaha-usaha bagi penempatan semula pekerja tempatan yang telah diberhentikan kerja diutamakan dan digiatkan.

"Oleh yang demikian, hanya majikan-majikan daripada sektor kritikal ini yang telah berusaha mendapat pekerja tempatan namun masih mempunyai kekosongan pekerjaan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk mendapatkan pekerja asing dan dipadankan dengan pendatang asing tanpa izin tanpa majikan yang telah mendaftar untuk program Penempatan dan Penggajian Semula Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI-Rehiring)," katanya.