Seorang pekerja asing di sebuah kilang yang berpengkalan di sini, menjadi individu pertama menerima pampasan di bawah Skim Bencana Pekerja Asing (SBPA) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sahin, 37 tahun, operator kilang warganegara Bangladesh, menerima pampasan bernilai RM1,170 setelah patah tangan kiri ketika sedang menjalankan kerja pembenaman skru pada awal Januari lalu.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Anak Marin, pekerja tersebut telah didaftarkan di bawah SBPA yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.

“Jadi ini adalah kes kemalangan yang pertama yang mendapatkan perlindungan di bawah skim bencana kerja pekerja asing di bawah Perkeso dan sebenarnya kilang ini boleh dikatakan kilang contoh sebab mereka telah pun mendaftar semua pekerja asing mereka sejak 2 Januari 2019.

“Iaitu sehari selepas berkuatkuasanya perlindungan pekerja asing ini tetapi kita mohon dan minta supaya semua majikan dan juga pekerja didaftarkan dan dicarumkan Perkeso sebab skim yang baru masuk ni mempunyai permit yang sah akan disahkan oleh Jabatan Imigresen maka mereka wajib mendaftar dan mencarum.,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan cek kepada Sahin di Belton Springs Sdn Bhd pada Jumaat.

Turut hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass Dan Pengurus Perkeso Kuala Kangsar, Noriah Abd Karim.

Ujarnya lagi, sebelum ini pekerja asing dikecualikan mulai 1 April 1993 dari skim perlindungan Perkeso dan dilindungi oleh Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952.

Skim terbaharu ini memberi perlindungan kepada pekerja asing yang mengalami kemalangan atau penyakit berpunca dari pekerjaan dan perjalanan melibatkan kerja.

Sehingga kini seramai 135,721 pekerja asing didaftarkan di bawah skim terbabit yang melibatkan 12,321 orang majikan di Malaysia.