Seorang pekerja buruh binaan warga Bangladesh maut selepas bangunan pembinaan di Jalan Delima 1/1, Taman Teknologi Subang Hitech, Subang Jaya runtuh pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Muhammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku pada 4.44 petang ketika mangsa bersama rakannya mahu pulang dari kerja.

"Mangsa melalui lantai tingkat pertama, secara tiba-tiba besi perancah menahan lantai runtuh menyebabkan mangsa jatuh dan terus ditimbusi besi perancah dan simen lantai yang masih belum kering.

"Selepas menerima panggilan kecemasan, seramai 18 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor serta Subang dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Nurizham Mohd Nudin berkata, mangsa yang berusia 43 tahun itu dikenali sebagai Kassim.

Menurut laporan Bernama, Kassim yang terjatuh dari ketinggian 14 meter, ditemui mayatnya pada 5.42 petang dan berjaya dikeluarkan pada 9.40 malam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.