Sekumpulan pekerja hotel bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas seorang lelaki tiba-tiba melontar bom petrol ketika mereka sedang menyiapkan menu sarapan pagi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi hari ini apabila seorang lelaki bermotosikal, menyalakan api dan melontar bom petrol mengakibatkan cermin di pintu utama hotel retak dan pecah.

Insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata anggota forensik polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian, termasuk mengenal pasti bahan letupan.

Polis sedang meneliti kamera litar tertutup (CCTV) milik hotel bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang dipercayai masih berada di Alor Setar.