Seorang pekerja kilang pengeluar penapis di Kampung Jawa di sini dilarikan sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di hadapan pintu masuk kilang itu hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa S. Jothimani, 48, ditarik masuk ke dalam kereta jenis Mercedez Benz berwarna putih yang sedang menunggu di luar pintu masuk kilang itu oleh salah seorang lelaki dalam kereta itu.

Adik mangsa, yang hanya dikenali sebagai Ruvan, berkata kakaknya sebelum itu menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa dirinya daripada sebuah syarikat beli-belah dalam talian dan hendak menghantar barang.

"Kakak saya keluar untuk berjumpa seorang lelaki di hadapan pintu masuk kilang itu.

"Namun setibanya di hadapan pintu masuk, beliau menemui seorang lelaki memakai baju putih, manakala dua lagi lelaki menunggunya di dalam kereta," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kakaknya dipaksa menaiki kereta itu sebelum ditarik seorang lelaki dari dalam kenderaan itu.

Ruvan hanya mengetahui kejadian yang menimpa kakaknya itu setelah salah seorang daripada dua anak lelaki mangsa menerima panggilan telefon daripada penyelia kilang itu kira-kira 15 minit selepas kejadian.

Beliau mendakwa kakaknya tidak mempunyai musuh dan pihaknya juga tidak mengenali lelaki itu berdasarkan rakaman CCTV dan tidak pernah menerima sebarang ugutan daripada mana-mana individu.

"Saya dimaklumkan ahli keluarga bahawa kenderaan yang dinaiki penculik juga merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu di Subang Jaya," katanya.

Rakaman CCTV berdurasi 33 saat berhubung kes penculikan itu tersebar luas dalam WhatsApp hari ini di mana ia menunjukkan wanita itu ditarik masuk oleh seorang lelaki ke dalam kereta itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

- BERNAMA