Seorang penunggang motosikal maut setelah kenderaannya merempuh belakang sebuah kereta rosak di lorong kecemasan Lebuhraya Utara Selatan di kilometer 124.8 arah utara.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pekerja kilang Muhammad Amirul Zamir Md Isa, 24, yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataannya memaklumkan siasatan awal mendapati kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun itu mengalami kerosakan di bahagian enjin lalu memberhentikan kenderaan tersebut di lorong kecemasan.

Noorzainy berkata pemandu kereta tersebut telah membuka but dan memasang isyarat lampu kecemasan.

Mangsa yang datang dari arah belakang bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta tersebut dan terjatuh.

Menurut Noorzainy, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.