Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh maut selepas tersepit dalam mesin memproses sarung tangan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kelemak, Alor Gajah pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 pagi itu, mangsa, Md Al Mamun, 31 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, A Asmadi Abd Aziz berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bekerja pada syif malam dan bersendirian di bahagian yang menempatkan mesin berkenaan.

“Kita dapati tiada sebarang unsur jenayah ataupun khianat. Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan baju dipakai mangsa tersepit pada mesin berkenaan menyebabkan insiden itu tercetus.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ataupun khianat. - Foto ihsan JBPM

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus sembilan anggota tiba di lokasi kejadian, kami dapati terdapat seorang lelaki warga Bangladesh tersepit pada sebuah mesin pemprosesan.

“Kita ambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada mesin berkenaan,”katanya ketika dihubungi.