Tutup

Pekerja kilang warga Myanmar maut, jatuh dalam mesin

Pekerja kilang warga Myanmar maut, jatuh dalam mesin
Bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam mesin. - Foto ihsan JBPM
JOHOR BAHRU: Seorang warganegara Myanmar maut selepas terjatuh ke dalam mesin di kilang memproses bahan plastik di Taman Perindustrian Senai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, sebaik menerima panggilan, tujuh anggota dan jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati benar terjadi satu kemalangan membabitkan seorang pekerja kilang warga Myanmar.
“Mangsa telah terjatuh ke dalam sebuah mesin dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Fauzi, bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam mesin berkenaan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.