Seorang warga Filipina maut manakala rakannya cedera parah akibat diserang sekumpulan lelaki di sebuah banglo yang sedang diubah suai di Jalan Lim Chee Hian, Brighton di sini malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Sail Mohd berusia 20-an dipercayai mati akibat terkena tikaman senjata tajam di perut dalam kejadian kira-kira 11 Selasa malam.

Mangsa meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di Hospital Miri

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee berkata sementara mangsa yang cedera hanya dikenali sebagai Ben, 26, dan kini dirawat di hospital berkenaan dengan kecederaan di perut sementara betisnya terkoyak dan satu jarinya hampir putus.

Beliau berkata seorang lagi warga Indonesia yang dikenali sebagai Saptari, 23, cedera ringan di tangan dan dada.

Motif serangan masih dalam siasatan, kata Gan kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan keterangan daripada Saptari, mereka yang bekerja sebagai tukang membancuh simen tinggal dalam salah sebuah bilik di banglo berkenan.

Ketika mangsa sedang tidur, mereka didatangi sekumpulan lelaki yang memutuskan bekalan elektrik sebelum menyerang mereka di dalam gelap, katanya.

Polis menjumpai sebilah parang di tempat kejadian.

Difahamkan ketiga-tiga mereka baru seminggu bekerja dengan seorang kontraktor yang mengubah suai banglo tersebut.