Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut selepas digilis sebuah lori dalam kejadian di Telliana Plantations, Bakong di sini semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden berlaku sekitar jam 3.20 petang, mengakibatkan mangsa, Bakir Daeng Serang, 43 tahun, maut serta-merta akibat cedera parah di seluruh anggota badannya.

Kejadian berlaku setelah mangsa terjatuh dari tempat duduk penumpang sebelum digilis tayar belakang lori sawit tersebut.

Alexson berkata, pihak polis hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 10.52 malam tadi.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Marudi untuk tindakan lanjut.

"Kita juga telah merakam keterangan daripada pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.