Seorang pekerja pembersihan lebuh raya maut selepas tercampak ke bawah Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah dekat Batu Kawan, Pulau Pinang dalam kejadian kemalangan malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Rosli Saludin, 39 bersama seorang lagi rakannya dikatakan sedang mencabut rumput di tengah jalan (lorong kanan) berhampiran pembahagi lebuh raya berhampiran susur ke Plaza Tol Bandar Cassia/Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki.

Akibat kejadian itu, Rosli tercampak ke bawah jambatan lebuh raya dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya pula mengalami patah kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Rakan Rosli yang turut dirempuh mengalami kecederaan di kaki dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Abdul Samad memaklumkan hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang papan tanda mahupun kon dipasang ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Katanya, pemandu kereta berkenaan yang berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil ke balai polis bagi melaporkan kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.