Seorang lelaki berumur 29 tahun maut dihempap besi seberat kira-kira satu tan ketika sedang menjalankan kerja di sebuah syarikat minyak dan gas, di Kampung Acheh, Sitiawan, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten ACP Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada syarikat terbabit kira-kira 3.57 petang.

"Pihak polis hadir di tempat kejadian dan mendapati mangsa telah dihempap besi semasa menjalankan pemasangan besi pelantar sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada badan hingga kepala," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu malam.

Menurut Muhammad Hanif tiada sebarang unsur jenayah berhubung kejadian itu dan mayat dihantar ke Hospital Seri Manjung bedah siasat selain polis akan menjalankan siasatan lanjut.

-- BERNAMA