Walaupun True Group telah tampil memberikan jaminan bahawa gaji serta komisyen tertunggak yang sepatutnya diberikan kepada pekerja-pekerja True Fitness Malaysia akan dibayar, pekerja-pekerja syarikat tersebut masih ragu terhadap janji itu.

Bekas pengurus pelatih peribadi True Fitness Malaysia, Shahrulhamiri Sharudin berkata jaminan itu tampak tidak ikhlas.

"Saya rasa jaminan untuk membayar gaji kami ini adalah tidak ikhlas. Saya berkata demikian kerana pihak pengurusan atasan tidak mengambil inisiatif untuk menghubungi saya atau kakitangan lain secara peribadi untuk memaklumkan kepada kami tentang pembayaran gaji ini. Mereka mempunyai nombor telefon kami.

"Apabila pihak media menulis tentang nasib kami, barulah mereka keluarkan kenyataan ini. Saya rasa seperti mereka hanya cuba untuk menenangkan keadaan.

“Tetapi kami akan menyimpan kenyataan ini sebagai bukti supaya mereka menunaikan janji mereka,” katanya kepada Astro AWANI melalui satu mesej WhatsApp.

Seorang lagi bekas pekerja pusat kecergasan tersebut, David Thoong, berkata beliau ragu-ragu terhadap motif dan keikhlasan syarikat itu.

“Saya ragu-ragu terhadap keikhlasan mereka kerana mereka hanya memberi respon selepas kita memberitahu masalah kita di media sosial. Walau bagaimanapun, kita akan sabar menunggu mereka menunaikan janji.

“Tetapi kami mempunyai hak untuk memperbesarkan isu ini sekali lagi jika mereka tidak menunaikan janji mereka,” kata bekas Pengurus Senaman Kumpulan itu.

Bekas eksekutif kawalan kredit True Fitness, S. Tina Malini pula berkata syarikat itu hanya mahu mengalihkan tumpuan pekerja-pekerja dari berjuang untuk hak mereka.

Tambahnya, mereka tetap akan memperjuangkan hak masing-masing sementara menunggu gaji yang dijanjikan.

Semalam, dilaporkan bahawa True Group yang memiliki True Fitness Malaysia, telah tampil memberikan jaminan bahawa gaji serta komisyen tertunggak yang sepatutnya diberikan kepada pekerja-pekerjanya, akan dibayar oleh syarikat itu.

Ia turut dilaporkan bahawa gaji serta komisyen telah dihantar kepada semua kakitangan dan akan diterima pada 19 Jun.

Semalam, lebih 50 bekas pekerja True Fitness Malaysia tampil di Jabatan Tenaga Kerja, Subang Jaya untuk memfailkan aduan selepas pusat kecergasan itu menutup operasinya di sini.

Ini ekoran pekerja-pekerja tersebut kecewa kerana didakwa tidak diberikan notis terlebih dahulu mengenai penutupannya yang berkuatkuasa mulai 10 Jun.