Pentadbiran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti NS) tidak akan bertukar tangan, walaupun berlaku peralihan kuasa melibatkan kerajaan negeri pada PRU14.

Penasihatnya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perubahan terhadap perlembagaan organisasi itu pada dua tahun lalu adalah faktor penentu dalam isu berkenaan.

“Macam dulu, anggotanya ialah isteri wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan Negeri Sembilan. Tapi (perlembagaannya) dah ditukar supaya lebih fokus lagi, daripada isteri wakil rakyat saja kepada isteri wakil rakyat BN.

“Jadi tak timbul soal Pekerti akan beralih tangan, macam berlaku di Selangor dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran Perdana anjuran Pekerti NS di bangunan NSWO, di sini, Sabtu.

Menurutnya, sehubungan itu Pekerti NS akan kekal seperti sediakala dan terus menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Sebab Pekerti ialah NGO (organisasi bukan kerajaan) yang ditubuhkan untuk jaga kebajikan dan menjalankan kerja amal.

“Walaupun BN bukan lagi kerajaan di Negeri Sembilan tapi peranan isteri wakil-wakil rakyat ni akan diteruskan kerana dah sebati dalam masyarakat,” katanya.