Pihak Pelabuhan Kuantan telah diberi tempoh satu bulan untuk membersihkan lambakan bauksit yang berada dalam simpanan.

Jika gagal, Approved Permits (AP) atau permit kelulusan tidak akan diberikan kepada pihak yang mengelola simpanan bauksit di pelabuhan untuk menjalankan operasi penyimpanan mineral itu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Tindakan ini merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet untuk mengenakan moratorium selama 3 bulan ke atas aktiviti berkaitan bauksit, "jelas beliau.

Tambah beliau, bermula 15 Januari, semua aktiviti perlombongan bauksit akan dihentikan sementara tindakan pengawalan diuruskan pihak berkuasa.

"Selepas ini, AP hanya akan diberikan berdasarkan kapasiti pelabuhan untuk menyimpan bauksit," kata Dr Wan Junaidi.

Isu perlombongan bauksit di Kuantan mendapat perhatian pihak media sejak tahun lepas.

Namun, sejak air laut di Pelabuhan Kuantan menjadi merah disebabkan perlombongan bauksit, lebih besar tumpuan diberikan ke atas isu tersebut.

BACA: Terdedah debu bauksit dalam tempoh lama boleh sebabkan Alzheimer - Pakar


Laporan media menyatakan stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan yang tidak diuruskan dengan baik dikatakan menjadi punca air laut menjadi merah di sekitar Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam di daerah itu , baru-baru ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.