Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempelawa pelabur Jepun dan pelabur global lain memanfaatkan peluang perniagaan dalam pasaran ASEAN yang besar, menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke rantau ini.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata, pelabur akan mendapat manfaat daripada lokasi geografi Malaysia yang strategik, di tengah-tengah ASEAN, dasar mesra perniagaannya yang pragmatik, serta, sambungan dan infrastruktur yang maju.

Beliau juga berkata penglibatan Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), serta dengan rundingan yang sedang dijalankan bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), boleh menjadi jambatan kepada pasaran berpotensi yang lain bukan sahaja di rantau Asia Pasifik, tetapi juga dalam arena antarabangsa.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari Jepun terutamanya dalam bidang pertumbuhan baru dengan teknologi baru muncul, berteknologi tinggi, berintensifkan modal, nilai ditambah yang tinggi, berasaskan pengetahuan, kemahiran intensif dan berorientasikan eksport yang menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Dalam hal ini, kami menggalakkan pelaburan yang akan membantu menempatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh membangunkan produk inovatif dan kreatif serta perkhidmatan," kata Ahmad Zahid dalam ucaptama pada persidangan bersama Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (JAMECA-MAJECA) ke-34 di sini.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Presiden JAMECA Mikio Sasaki, Presiden MAJECA Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud.

Ahmad Zahid berkata TPP, yang dijangka berkuat kuasa pada 2018, sebagai satu inisiatif penting untuk memperluaskan peluang akses pasaran, akan meningkatkan kelebihan daya saing Malaysia dan membina keyakinan pelabur dalam negara.

TPP akan membantu Malaysia-Jepun dalam mewujudkan hubungan yang erat dalam rantaian bekalan serantau dan dunia serta membolehkan kedua-dua negara melibatkan diri dengan lebih kukuh bersama rakan kongsi perdagangan penting seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Berucap kepada pemimpin industri terkemuka Jepun, antara 120 peserta pada persidangan itu, Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai pembangunan industri halal di Jepun memandangkan negara itu bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 di ibu kota Tokyo.

"Prospek ini akan seterusnya mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru di sini dan meningkatkan minat terhadap Jepun dari luar negara.

"Adalah menjadi harapan saya, pelabur Malaysia akan mengambil peluang keemasan ini untuk menceburi bidang perniagaan baru di Tokyo, terutamanya dalam industri makanan halal," katanya.

Ahmad Zahid dengan bangganya berkongsi pencapaian Brahim's Food Japan Co. Ltd, restoran makanan halal asli Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Jepun.

Mengenai perkhidmatan halal, beliau memberi contoh syarikat Jepun, Nippon Express, yang menjadi syarikat logistik Jepun pertama memperoleh pensijilan logistik halal di Malaysia.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam, badan pensijilan Kerajaan Malaysia dalam mempromosikan perkhidmatan logistik halal, meluluskan permohonan Nippon Express bagi pensijilan berkenaan.

Dalam usaha untuk meningkatkan integrasi ekonomi dengan Jepun, Ahmad Zahid berkata, agensi penggalakkan perdagangan negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk mengeksport ke Jepun, serta, membantu syarikat-syarikat Jepun di Jepun mendapatkan sumber produk, komponen dan perkhidmatan Malaysia.

Bagi tahun ini, 12 program dengan kerjasama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia Jepun (JACTIM), MAJECA dan Pusat Dagangan Jepun ASEAN dijadual diadakan, yang terdiri daripada penyertaan dalam pameran perdagangan, misi pemasaran dan misi penyumberan antarabangsa.

Persidangan sehari itu dihadiri oleh 30 anggota JAMECA, 90 syarikat Jepun yang berminat untuk melabur di Malaysia dan peserta Malaysia.

Beberapa syarikat besar Jepun mengambil bahagian termasuk Hitachi Ltd, Mitsubishi Motors Corporation, Japan Airlines, Mizuho Bank, Sumitomo Corporation, Yakazi Corporation, Toyo University, Brahim's Food Japan dan AT Toyyibah Japan Co Ltd.

Sehingga akhir 2015, sebanyak 3,362 projek pembuatan dengan kepentingan Jepun, melibatkan pelaburan sebanyak US$32.9 bilion telah diluluskan di Malaysia.

Pelabur Jepun terlibat dalam barangan elektronik dan elektrik, produk galian bukan logam, produk logam asas, produk petroleum termasuk petrokimia, kimia dan produk kimia, dan juga kelengkapan pengangkutan.