Pelaburan China dalam pembangunan infrastruktur memberi manfaat kepada pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memandangkan kesalinghubungan yang lebih baik adalah pemacu utama pertumbuhannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata infrastruktur yang bertambah baik, termasuk lebuh raya, lapangan terbang, pelabuhan laut dan sistem kereta api, akan memudahkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN.

Beliau berkata inisiatif jalur dan laluan (BRI) akan membantu ASEAN merealisasikan Pelan Induknya mengenai Kesalinghubungan ASEAN, terutamanya jalan, kereta api, dan sambungan laut.

"Kesalinghubungan dari segi ekonomi pada skala merentas benua yang dibayangkan oleh BRI adalah kukuh, terutamanya semasa globalisasi dilihat lemah dalam menghadapi peningkatan dasar perlindungan dan nasionalisme ekonomi di Barat," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia ke-9 di sini malam Isnin.

Ahmad Zahid berkata pemulihan ekonomi global yang perlahan dari krisis 2008 dan prospek yang semakin berkurang bermakna dunia memerlukan dorongan baru untuk berkembang dan BRI pastinya salah satunya.

"Penglibatan China dalam pembinaan projek pelabuhan dan keretapi baru di beberapa negara ASEAN akan mempercepatkan kesalinghubungan ini. BRI boleh memudahkan Kesalinghubungan ASEAN menerusi bidang lain iaitu sambungan digital," katanya.

Melalui definisinya yang paling luas, Ahmad Zahid berkata BRI akan melibatkan 65 negara, 4.4 bilion penduduk dan 29 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global (US$2.1 trilion) secara langsung.

Inisiatif ini disokong oleh Dana Laluan Sutera Baru, yang telah menyediakan modal sebanyak US$40 bilion untuk diberikan secara ansuran.

Ahmad Zahid berkata ansuran pertama sebanyak US$10 bilion, yang terdiri daripada US$6.5 bilion daripada Pentadbiran Pertukaran Asing China, Perbadanan Pelaburan China (US$1.5 bilion), Export-Import Bank of China (US$1.5 bilion), dan Bank Pembangunan China (US$ 500 juta).

Dalam tempoh empat tahun lepas, dana tersebut melabur US$4 bilion.

"Tidak diragukan lagi, inisiatif ini telah disambut baik oleh kebanyakan negara dalam skop geografinya, termasuk negara-negara Asia Tenggara. Bagi Asia Tenggara, inisiatif ini boleh menjadi sumber pendanaan yang penting bagi kerajaan di rantau ini untuk membangunkan infrastruktur mereka.

"Menurut laporan Bank Pembangunan Asia, negara-negara Asia Tenggara memerlukan kira-kira US$ 2,759 bilion, yang sama dengan lima peratus daripada KDNK mereka, untuk pelaburan infrastruktur antara 2016 dan 2030," katanya.

Ahmad Zahid berkata akses kepada pelaburan China melalui BRI dinilai oleh negara-negara Asia Tenggara, terutamanya apabila pembiayaan melalui pelabur swasta dan institusi kewangan antarabangsa kekal terhad dan tidak dapat memenuhi permintaan rantau ini.

BRI juga kata beliau, menghadapi cabaran tertentu di Asia Tenggara.

Beliau berkata sesetengah negara, selain berharap kepada BRI, berhati-hati disebabkan perbezaan dalam skala ekonomi antara China dan negara-negara lain, serta perubahan landskap geopolitik yang boleh mungkin dibawa oleh inisiatif.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan cabaran itu menghalang perkembangan positif berkaitan BRI. Syukurlah, terdapat kemajuan antara kedua-dua pihak.

"Dalam hal ini, kita didorong oleh kesimpulan dan penggunaan kerangka Kod Etika di Laut China Selatan pada Ogos 2017.

"Pengesahan rangka kerja oleh kedua-dua pihak sememangnya merupakan satu langkah ke hadapan dalam komitmen dan konsensus," katanya, sambil menambah bahawa jaminan China menegnai hasratnya akan memberi manfaat yang besar bagi kejayaan BRI.

Beliau berkata pelaksanaan agenda BRI akan memerlukan kerjasama, tahap pemahaman dan kepercayaan yang tinggi.

Mengenai hubungan antara Malaysia dan China, Ahmad Zahid berkata China kini merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan pelabur asing terbesar manakala pelancong China merupakan pelancong tunggal terbesar di Malaysia.

"Malaysia dan China telah menikmati hubungan yang erat dan teguh selama 43 tahun sejak negara itu menjadi yang pertama di Asia Tenggara untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974 dan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara mengukuhkan lagi hubungan dua hala," katanya.

Sidang kemuncak dua hari bertemakan 'Menangani Ketidaktentuan Global: Meneroka Peluang Baru', menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan akademik serta pemikir untukmeraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan pemeteraian PerjanjianPerdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Hong Kong yang melengkapi FTA China-ASEAN.

Acara ini dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

-- BERNAMA