Keputusan Pelaburan MARA Berhad menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) tahun lepas dibuat atas dasar komersial bagi aktiviti penjenamaan dan pemasaran ke arah meningkatkan jualan dan seterusnya keuntungan syarikat.

Menurut kenyataan syarikat itu pada Selasa, keputusan penajaan TRW itu dibuat secara pentadbiran amalan biasa berdasarkan belanjawan tahunan yang diperuntukkan bagi kegiatan pengiklanan dan pemasaran yang diluluskan oleh lembaga pengarah.

"Penajaan pasukan bola sepak merupakan kaedah pemasaran yang sama seperti pemasaran melalui media elektronik, cetak, atas talian dan kaedah pemasaran 'out of home' yang lain.

"Penajaan ini antara inisiatif bagi memaksimumkan kebolehlihatan jenama syarikat kepada masyarakat umum," menurut kenyataan itu.

Pelaburan Mara Berhad berkata ia mengambil bahagian dalam TRW pada 2016 dengan perbelanjaan RM200,000 dengan membeli pakej pengiklanan komersial yang ditawarkan TRW.

Ia merangkumi sembilan peratus daripada keseluruhan peruntukan syarikat bagi aktiviti penjenamaan dan pemasaran, kata syarikat itu.

Kenyataan itu berkata Pelaburan MARA ialah entiti komersial yang mempunyai peranan berbeza dengan MARA dan sebagai syarikat berasaskan keuntungan, Pelaburan MARA mempunyai strategi perniagaan dan pemasaran tersendiri untuk meningkatkan pendapatan dan keuntungan.

Ia seterusnya berkata Pelaburan MARA Berhad adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan MARA iaitu 60 peratus daripada keuntungan keseluruhan MARA bagi tahun kewangan 2016.

Tahun lepas, syarikat itu mencatat keuntungan hampir 300 peratus berbanding 2015.

Jualan dana unit amanah bagi PMB Investment pula melebihi sasaran dengan peningkatan lebih 40 peratus dalam tempoh setahun, dan jumlah perunding unit amanah meningkat 55 peratus pada 2016 berbanding 2015.

PMB Investment merupakan syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad yang menjalankan perniagaan unit amanah dan mempunyai status Syarikat Pengurus Dana Islamik (IFMC).

Dalam pada itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam kenyataanya berkata penajaannya dalam pasukan Kelantan telah memberi impak besar kepada penjenamaan universiti itu.

"Pembiayaan program pemasaran dan penajaan ini dibuat secara pentadbiran menggunakan peruntukan yang diluluskan setiap tahun khusus untuk tujuan pengiklanan dan promosi tanpa melibatkan sebarang dana tajaan pelajaran pelajar dari MARA," kata UniKL.

-- BERNAMA