Padah bergurau di hadapan pintu kaca, seorang pelajar lelaki maut selepas lehernya tertusuk serpihan kaca di sebuah sekolah swasta di Kota Damansara, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Lee Jin Hong, 15, bersama tiga rakannya yang berada di dalam kelas, bergurau dengan menutup pintu kaca kelas.

Menurutnya, Lee yang telah dua tahun belajar di sekolah itu dikatakan menolak pintu kaca itu kemudian terhantuk menyebabkan pintu itu pecah dan lehernya terkena serpihan kaca.

“Pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Keterangan daripada tiga rakan mangsa akan dirakam dalam masa terdekat untuk siasatan dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi. -- Bernama