Seramai tujuh wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelacur ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di sini malam Khamis.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Abdul Rahman Hassan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lepas, sepasukan penguatkuasanya menyerbu hotel itu pada pukul 9 malam dan berjaya menahan lima wanita Nigeria dan dua wanita Uganda.

"Semasa serbuan terdapat dua wanita di lobi hotel berkenaan dan mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami tetapi gagal kerana kawasan banglo dua tingkat yang dijadikan hotel bajet itu telah dikepung," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui lima lagi wanita di dalam bilik hotel masing-masing dan mereka sedang melayan pelanggan yang terdiri daripada lelaki tempatan.

"Kami turut menahan lima lelaki tempatan yang sedang melakukan seks bersama wanita-wanita berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati tujuh wanita warga asing berusia 22 hingga 35 tahun itu merupakan pemegang pas pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang.

Katanya mereka dipercayai aktif menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di hotel bajet itu sejak beberapa bulan lepas.

"Buat masa ini, kami masih belum dapat pasport mereka dan berdasarkan siasatan kemungkinan mereka adalah anggota sindiket pelacuran membabitkan pelajar antarabangsa yang didalangi warga tempatan," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan dalang sindiket itu dan pemilik hotel bajet berkenaan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya semua wanita itu dibawa ke Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.