Pelajar yang pulang dari luar negara tetapi tidak mampu membayar kos kuarantin wajib serta berasal daripada keluarga B40 akan dikecualikan daripada membayar kos tersebut, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, perkara itu diputuskan Mesyuarat Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas terdapat isu pelajar luar negara terpaksa menunggu lama sebelum dimasukkan ke pusat kuarantin baru baru ini.

"Semalam terdapat laporan pelajar dari Yaman tidak berkemampuan membayar kos kuarantin. Sebenarnya kita telah memutuskan untuk pelajar ada tiga kategori, pertama pelajar berkemampuan mereka boleh bayar sendiri, kedua ialah pelajar yang ditaja mendapat pinjaman biasiswa dan mereka ini perlu dibayar oleh penaja.

"Ketiga, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah B40. Kita memutuskan pelajar B40 boleh dikecualikan dengan syarat mereka buat rayuan sewaktu memasuki pusat kuarantin tersebut. Kena buat rayuan kepada petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di pusat kuarantin," katanya dalam sidang media harian Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Beliau berkata, mereka yang telah tiba di negara ini boleh membuat rayuan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala yang bakal tiba pula akan dihantar ke Institut Latihan Awam (ILA) untuk menjalani kuarantin wajib tersebut.