Memiliki tubuh badan yang kecil, dua remaja termasuk seorang pelajar tingkatan dua direkrut untuk menganggotai kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Tiger.

Kedua-dua remaja yang berusia 14 dan 16 tahun itu direkrut untuk berperanan sebagai penyelinap masuk ke rumah-rumah tertentu memandangkan badan mereka bersaiz kecil.

Bagaimanapun, kegiatan licik itu terbongkar selepas lima ahli kumpulan tersebut diberkas pada Selasa dan Rabu lalu di sekitar Marang antara jam 5.30 pagi hingga 12 tengahari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, salah seorang suspek merupakan pelajar tingkatan dua manakala rakannya tidak bersekolah.

“Kedua-dua berumur 16 dan 14 tahun. Hasil siasatan lanjut mendapati mereka ini direkrut oleh ketua kumpulan Geng Tiger untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Cuma peranan mereka (pelajar) ini adalah menyelinap masuk memandangkan badan mereka kecil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menambah, kumpulan yang diketuai lelaki berusia 29 tahun itu turut mempuyai 15 rekod jenayah lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

Jelasnya Geng Tiger ini bergerak aktif ketika penghuni keluar untuk menunaikan solat terawih dan ketika pemilik rumah keluar untuk membeli kelangkapan menyambut Aidilfitri.

Menurut Fazlisyam lagi, kumpulan yang aktif sejak tahun lalu dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah dengan menyasarkan barangan kemas, peralatan elektronik dan wang tunai.

Katanya kesemua suspek yang berusia 14 hingga 37 tahun itu juga positif dadah jenis methamphetamine.