Seorang pelajar dan seorang guru maut dalam kemalangan apabila dua kenderaan yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Terengganu-Machang-Grik berhampiran Felda Teratak Batu, di sini pagi tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Izzat Firdaus Mokhtar, 19, dan Zulkifli Abd Rahman, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad berkata, Izzat merupakan pelajar Politeknik Jeli memandu Perodua Viva manakala Zulkifli pula seorang Pembantu Pengajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak memandu Proton Gen2.

Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu Izzat dipercayai dari arah Pasir Puteh ke Machang telah memasuki laluan bertentangan dan memasuki ke laluan Machang ke Pasir Puteh yang dilalui Zulkifli.

"Kereta yang dipandu Zulkifli hilang kawalan lalu kedua-dua kenderaan bertembung dari arah depan dan kedua pemandu disahkan meninggal dunia akibat polytrauma," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua mangsa di bawa ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II, Jaafar Jusin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.45 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota daripada Balai Bomba Pasir Puteh dan tujuh anggota dari Balai Bomba Machang tiba di lokasi.

"Kita dapati pemandu Viva tersepit dan operasi mengeluarkan mangsa dibuat menggunakan teknik 'Dash Roll' serta 'Roof Flat yang mengambil masa 30 minit dan operasi selesai sepenuhnya jam 8.36 pagi," katanya.