Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) diminta berhati-hati ketika mendengar ceramah politik pembangkang supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan budaya kebencian yang cuba diterapkan parti berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembangkang sentiasa memburuk-burukkan apa yang dilakukan kerajaan, oleh itu, pelajar perlulah bijak menilai janji-janji mereka.

"Saya nasihatkan pelajar agar tidak seronok mendengar dakyah pembangkang seperti tawaran memberikan pendidikan secara percuma. Jika mereka mampu melakukan pendidikan percuma, kenapa ia tidak dimulakan di Universiti Selangor (UNISEL) terlebih dahulu," katanya pada sidang berita di sini, pada Isnin.

Terdahulu beliau melancarkan MYREN-X dan inisiatif kampus pintar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Turut hadir NaibCanselor UTeM Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Idris berkata UNISEL tidak mungkin berjaya tanpa bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang fokus membantu pelajar.

Selain itu, beliau menasihati pelajar supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu yang disebarkan pembangkang seperti dakwaan peruntukan unversiti tidak meningkat.

"Peruntukan kepada universiti tahun ini meningkat sebanyak 13.15 peratus dengan peruntukan sebanyak RM13.9 bilion. Ini menunjukkan kerajaan memberi sokongan hebat kepada pendidikan,"katanya sambil mengingatkan pelajar unversiti mengenai larangan berpolitik dalam kampus.

Beliau berkata mereka juga tidak boleh bertindak sesuka hati dengan menyebarkan khabar yang tidak betul.

-- BERNAMA