Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pelajar Malaysia di Manchester untuk lebih berjaga-jaga, terutamanya dalam membenarkan pelajar dari negara lain untuk tinggal di kediaman mereka.

"Ini wajar dilakukan memandangkan situasi kini di sana dengan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan di sana," kata Zahid.

Apabila ditanya berhubung keadaan tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat, beliau berkata mereka berada dalam keadaan selamat tetapi 'trauma'.

"Ini kerana ketika polis Manchester tiba di kediaman mereka, pintu-pintu yang berkunci telah dipecahkan.



BACA: [LAPOR LANGSUNG] Letupan gegar konsert Ariana Grande

BACA: Ariana Grande umum konsert istimewa buat mangsa tragedi di Manchester Arena

"Namun kita faham keadaan yang sedang berlaku di sana (Manchester)," tambah beliau.

Beliau ditemui selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Peringkat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong pada malam ini.

Dalam insiden pada 23 Mei lalu, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 59 cedera dalam satu letupan selepas berakhirnya konsert penyanyi Amerika Ariana Grande di Manchester Arena.

Menurutu Polis Pengangkutan British, letupan dilaporkan berlaku di ruang legar bangunan itu pada kira-kira jam 10.30 malam (waktu tempatan.

Menurut portal The Guardian, mangsa yang mengalami kecederaan telah menerima rawatan di enam hospital di sekitar Manchester.