Seorang pelajar Malaysia yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Mesir dua minggu lalu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada paru-parunya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, pelajar tersebut, Ummi Nadiah Filzah Daud meninggal di Unit Rawatan Intensif (ICU), Hospital Miri Iskandariah di Universiti Alexandria kira-kira jam 8.00 malam, pada Ahad.

Difahamkan Duta Malaysia ke Kaherah, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bersama pegawai kedutaan sedang membantu keluarga mangsa dengan menghantar jenazah pulang ke Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan, Ibu bapa Ummi mahu menyempurnakan jenazah di Bandar Tasik Putri, Rawang, Selangor.

Pihak Kementerian juga telah mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

Dua minggu lalu, enam pelajar Malaysia dari Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah dilaporkan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Borg El, Mesir.

Mereka dalam perjalanan ke lapangan terbang tersebut untuk pulang ke Malaysia bagi cuti semester.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam (waktu tempatan) itu berlaku selepas van yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah lori, menyebabkan van dinaiki pelajar terbabit berpusing beberapa kali.

Perlanggaran kuat itu menyebabkan kesemua enam pelajar perubatan itu tercampak ke luar, di mana lima pelajar mengalami kecedaraan manakalan pemandu van tidak mengalami apa-apa kecederaan.