Jenazah penuntut Malaysia yang meninggal dunia akibat lemas ketika berkelah di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun, 3 Ogos lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa, pada 10.20 pagi hari ini.

Arwah, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 21, adalah pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal informatiks di Universiti Meiji, Tokyo di bawah tajaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Ibu mangsa, Junaidah Mat Ali, 43, berkata, jenazah anaknya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, pada 4 pagi Khamis lalu.

Katanya, jenazah terus dibawa ke Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa untuk solat jenazah pada 9 pagi tadi.

“Alhamdulillah, segala urusan pengebumian arwah selamat diselesaikan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan kepada kami sekeluarga,” kata Junaidah.

Rakan sebiliknya, Muhamad Ridzwan Normahazan, mengatakan permergian rakannya itu amat mengejutkan.

“Kali terakhir saya jumpa arwah adalah masa kawan-kawan nak pergi berjalan.

“Arwah kejutkan saya dari tidur dan ajak saya pergi sekali tetapi saya cakap saya tidak boleh ikut sebab saya ada kerja di universiti.

“Bila habis kerja tu, tiba-tiba dapat panggilan daripada kawan, cakap arwah sudah tiada.

“Saya dapat panggilan itu kira-kira pukul 6 petang waktu Jepun.

“Memang kami di Malaysia sudah tiga tahun tinggal bersama-sama, dapat universiti yang sama dan tinggal dalam satu rumah di Jepun. Tapi apabila sampai di Jepun, kami berpecah sedikit, saya mengambil jurusan mekanikal dan arwah, jurusan mekanikal informatiks,” kata Muhamad Ridzwan.