Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Segamat, maut akibat digilis selepas terjatuh dari bas sekolah yang dinaiki, di Taman Tenang, di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa, M. Ranjani Devi, 18, dipercayai terjatuh ketika berdiri di tangga pintu keluar bas berkenaan.

“Insiden itu berlaku sewaktu bas sekolah itu sedang bergerak dari arah Taman Tenang menuju ke Jalan Mutiara 8 untuk menghantar pelajar-pelajar sekolah pulang ke rumah masing-masing.

“Mangsa dipercayai sedang berdiri di tangga pintu keluar bas namun tiba-tiba terjatuh sebelum digilis oleh bahagian tayar kiri belakang dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas Raub, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sehingga kini, siasatan masih lagi diteruskan,” tambahnya.